DUNGUN, 2 Ogos – Lapan lelaki termasuk seorang remaja dan seorang warga emas ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi lembu di Ladang Pinang, Bukit Besi, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Penguasa Polis (Supt) Maizura Abdul Kadir, menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 73 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 2.30 pagi, susulan aduan seorang penternak mengenai kehilangan lembu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, selain tangkapan, polis turut merampas 18 keratan anggota badan lembu, dua kenderaan, senjata api dan peluru hidup serta peralatan memotong daging.
“Polis menerima laporan mengenai kehilangan lembu kira-kira pukul 2 pagi. Susulan itu, anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bertindak pantas menjejak suspek dan berjaya membuat tangkapan serta merampas beberapa barangan termasuk senjata api yang didaftarkan atas nama seorang daripada suspek,” katanya.
Menurut Supt Maizura, tujuh suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam manakala seorang remaja direman selama dua hari.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menasihati penternak supaya mengambil langkah pencegahan termasuk memasang pencahayaan yang mencukupi dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan kecurian ternakan.
Kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960, Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.