fb fb fb fb fb

Kertas siasatan kes kematian Zara Qairina, diserah kepada TPR minggu depan

Datuk Seri Saifuddin (tengah) bercakap dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda dan Laskar Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, 2 Ogos – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dikaitkan dengan dakwaan kes buli di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu depan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan polis telah selesai, kita dah panggil 60 saksi. Paling lewat minggu depan pihak polis akan serahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya. Tugas polis adalah menyiasat, memanggil saksi dan melengkapkan kertas siasatan untuk tentukan elemen penting seperti kewujudan motif atau penggunaan senjata, jika ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permohonan ibu mangsa supaya kubur anaknya digali semula dan inkues dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian. Menurut beliau, perkara tersebut merupakan proses yang dibenarkan mengikut undang-undang.

Datuk Seri Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda dan Laskar Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 68 pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 dan 186 pelatih Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 18/2024 berjaya menamatkan latihan selama 10 bulan.

Mereka akan ditempatkan di kapal-kapal Maritim Malaysia bagi meneruskan latihan sambil kerja (OJT) selama tiga bulan sebelum disahkan dalam perkhidmatan.

Para pelatih turut diingatkan agar terus menjaga nama baik agensi dengan menjadi pegawai dan anggota yang cekap serta berintegriti.

0208 PHG KES ZARA SELESAI123Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda dan Laskar Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE