fb fb fb fb fb

JPJ sita 53 kenderaan mewah dalam Ops Luxury

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan ketika ditemui pemberita

KUALA LUMPUR, 1 Ogos –Sebanyak 53 kenderaan mewah pelbagai jenama disita atas pelbagai kesalahan serius, termasuk tiada cukai jalan dan perlindungan insurans sah, menerusi Ops Luxury.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya telah mengesan dan mengenal pasti lokasi serta pemilik kenderaan mewah tanpa cukai jalan dan insurans di seluruh negara.

"Dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Ops Luxury, pelbagai kesalahan serius telah direkodkan, antaranya termasuk lesen kenderaan motor yang tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans, lesen memandu yang tamat tempoh atau tiada lesen memandu yang sah serta pemaparan nombor kenderaan yang belum didaftarkan, selain beberapa kesalahan teknikal lain."

"Semua kenderaan yang terlibat telah disita dan ditempatkan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan yang berkaitan," katanya dalam sidang media khas JPJ mengenai hasil operasi di sekitar Lembah Klang, di sini.

Sebanyak tiga kenderaan yang disita dipandu warga asing, termasuk kenderaan bernilai jutaan ringgit turut disiasat kerana menggunakan dokumen palsu termasuk lesen memandu antarabangsa tiruan.

Muhammad Kifli turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak, termasuk pemilik kenderaan, syarikat atau individu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang diminta menyalurkan maklumat menerusi aplikasi MyJPJ atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

TETITIA YUSOFF