KUALA LUMPUR, 1 Ogos -Seorang lelaki berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol bekas kakak iparnya dalam kejadian yang didakwa berlaku dua tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berumur 31 tahun di sebuah unit pangsapuri di Bandar Bukit Jalil, Cheras sekitar pukul 3.30 pagi pada 22 Januari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, sekiranya disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dihadapi tertuduh tergolong dalam kategori tidak boleh dijamin.
Tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada individu hadir untuk menjaminnya pada hari prosiding.
Susulan itu, Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.