IPOH, 1 Ogos – Seorang pengajar institut memandu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Lim Chin Leong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Berdasarkan pertuduhan, Lim didakwa memegang tangan dan meletakkan tangannya di atas paha mangsa bagi maksud seksual, di sebuah institut memandu sekitar jam 10 pagi, pada 7 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam R Rajasegaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum, dengan alasan penjamin adalah anak kandung tertuduh yang bekerja sebagai akauntan dan tinggal bersama.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, serta memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mana-mana saksi.
Kes akan disebut semula pada 12 September depan.