MUAR, 1 Ogos - Satu sindiket dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan, susulan penangkapan 10 individu bersama 61 kilogram dadah bernilai RM2 juta.
Tangkapan dibuat hasil empat siri serbuan di beberapa lokasi termasuk di Muar dan Batu Pahat di Johor serta Kuala Lumpur pada 21 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang ditahan termasuk ketua sindiket dan sepasang suami isteri berusia antara 29 hingga 70 tahun.
“Serbuan pertama di Parit Pulai, Parit Jawa, Muar menyaksikan penahanan seorang lelaki tempatan yang memandu kereta jenis Lexus. Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan 51 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 51.1 kilogram.
“Dua lagi individu, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan dalam pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.
Serbuan kedua di sebuah rumah di Tanjung Labuh, Batu Pahat pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai ketua sindiket, manakala lima lagi suspek ditahan dalam serbuan ketiga di Jalan Parit Bakar, Muar.
Jenayah itu dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu.
Enam suspek yang diberkas juga didapati positif dadah manakala tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.