JOHOR BAHRU, 1 Ogos – Lima lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 9,565 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, Isnin lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Muhammad Ali, Zulfan Fauzi, Nasrullah, Marhaban dan Adnan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mereka didakwa secara bersama memiliki sejumlah LPG tersebut di sebuah premis stor di Ulu Tiram, di sini pada 28 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nurul Ikhlas Md Ariff, mengendalikan prosiding.
Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh jatuh hukum bagi semua tertuduh.