PADANG BESAR, 1 Ogos - Satu dari dua laluan penyeludupan di sempadan terbuka Hutan Simpan Negeri Perlis di Zon Wang Kelian berjaya ditutup pihak polis dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.
Laluan sepanjang 4 kilometer itu dikenal pasti antara laluan aktif penyeludupan daun ketum serta beberapa barangan bercukai yang lain.
Ketua Polis Perlis, Datuk Mohamad Abdul Halim berkata, aktiviti penyeludupan yang telah lama berlaku di kawasan berkenaan agak sukar dibanteras atas beberapa faktor.
Antaranya berkemungkinan disebabkan penglibatan masyarakat setempat di kedua-dua belah sempadan, cabaran bentuk muka bumi dan kelicikan penyeludup yang sentiasa menukar modus operandi.
"Di garis sempadan juga, kita dapati di kawasan tersebut keadaan penanda sempadan hanyalah menggunakan bulk wire dan tidak ada binaan khusus seperti pagar atau tembok dan sebagainya. Keadaan ini amat mudah kepada penyeludup untuk membuka laluan bagi membolehkan produk-produk mereka dibawa masuk dan dibawa keluar,” katanya selepas mengetuai rondaan pemantauan kawalan sempadan zon Wang Kelian, di pos kawalan Wang Kelian.
Dalam rondaan tersebut, seramai 40 anggota terdiri dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Perlis, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dan media dibawa meninjau kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan.
Tambah Datuk Mohamad lagi, aktiviti penyeludupan ini biasanya dilakukan dalam skala besar dengan pengelibatan anggaran antara 20 hingga 40 individu.