KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang suspek kes cubaan ragut di Batu 9 Cheras dibebaskan dengan jaminan polis selepas kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kesemua individu berusia antara 22 hingga 72 tahun itu dibebaskan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis Jabatan Kimia bagi mengesahkan punca kematian suspek.
“Kesemua tangkapan masih di bawah tahanan reman hingga esok, namun siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Julai yang mengarahkan supaya semua tangkapan dibebaskan sementara dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dalam kejadian pada 22 Julai lepas, pihak polis menerima maklumat awam melalui panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.10 pagi berhubung insiden seorang lelaki cuba meragut seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai guru tadika.
Suspek berjaya ditahan orang awam sebelum dipukul sehingga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bedah siasat telah dijalankan pada hari yang sama dan pihaknya masih menunggu laporan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengenali mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew melalui talian 012-6966849 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan-BERNAMA