fb fb fb fb fb

Lelaki dibunuh, mayat dibakar angkara hutang RM7,000

Lokasi mayat lelaki ditemukan di kawasan semak berhampiran Empangan Semenyih

KAJANG, 18 Julai- Seorang lelaki dibunuh dan mayatnya dibakar di kawasan semak berhampiran Empangan Semenyih di sini, disebabkan hutang berjumlah RM7,000.

Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Naazron Abdul Yusof berkata, pada pukul 10.07 pagi 23 Jun lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan berkaitan penemuan mayat dalam keadaan terbakar di lokasi itu.

Bertindak atas maklumat awam dan siasatan, polis menahan empat lelaki berusia 18 tahun yang juga rakan mangsa berusia 28 tahun itu di Batu 14 Hulu Langat di sini pada 11 Julai lepas bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan dapati kesemua yang ditangkap positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian awal saringan air kencing, manakala dua daripada mereka mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau.

"Motif kejadian disebabkan isu hutang apabila mangsa yang tidak bekerja berhutang RM7,000 dengan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, tiga suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan esok di Mahkamah Kajang manakala seorang lagi akan dijadikan saksi pendakwaan.

SITI AISHAH MD ISA