IPOH, 8 Oktober - Polis merampas 385.28 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine dan heroin dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 375 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di Slim River, Isnin lepas.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, kenderaan terbabit pada awalnya telah diarah berhenti oleh Pasukan Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
"Pemandu kenderaan itu tidak memberi kerjasama dan cuba melarikan diri. Selepas dikejar sejauh dua kilometer oleh pasukan peronda, pemandu telah memberhentikan kenderaan dan dua individu telah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
"Pemeriksaan menemukan 15 guni mengandungi 374 kg dadah disyaki methamphetamine serta satu bungkusan plastik berwarna hitam berisi dadah dipercayai heroin seberat 11.28 kg,"jelas Datuk Noor Hisam pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.
Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan turut tertumpu kepada pemilik kenderaan yang ditinggalkan memandangkan MPV yang didaftarkan atas nama seorang wanita itu tidak dilaporkan dicuri," katanya.