KEMAMAN, 8 Oktober- Seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Bandar Chukai, Terengganu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, atas tiga pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun 10 bulan pada September lalu.
Tertuduh, Mohd Afizzafri Mohammed Residalan, 30 tahun membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa telah melakukan rogol terhadap kanak-kanak berkenaan pada bulan September lalu, kira-kira pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 6.00 pagi di sebuah surau di Taman Perumahan Jakar.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama, pada hari dan tempoh masa sama di dalam sebuah kedai permainan kanak-kanak berhampiran sebuah surau.
Sementara itu, untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah merogol kanak-kanak berkenaan juga pada hari dan dalam tempoh masa yang sama, di dalam sebuah kenderaan di dalam perkarangan pasar raya berkenaan.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa bawah Seksyen 376(2)(e) yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM24,000.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 November depan.