SEGAMAT, 16 Oktober - Sebanyak 208 kes pelanggaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri direkodkan di Johor tahun ini.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 17 kes tahun lalu.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, daripada jumlah itu, kira-kira 204 kes melibatkan kesalahan penggunaan label merah jambu pada barang kawalan, manakala empat kes lagi membabitkan kesalahan tanda harga.
Jelas beliau, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 783 premis borong dan runcit di seluruh negeri sepanjang tempoh penguatkuasaan skim berkenaan.