fb fb fb fb fb

Kes tikam pelajar: Tiada kaitan masalah mental - Polis Selangor

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/BERNAMA

KLANG, 16 Oktober- Tiada kaitan masalah mental berkait insiden pelajar perempuan 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor, tempoh hari.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pihak sekolah memaklumkan suspek hanya menghadapi masalah pembelajaran.

"Setakat siasatan terkini, suspek pernah menjalani proses kaunseling pemulihan untuk membaiki kaedah pembelajaran sahaja dan bukan dari segi kesihatan mental atau personaliti dia. Perkara ini diuruskan oleh pihak sekolah" ujar Datuk Shazeli, hari ini.

‎‎Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Tinjauan Mesra bersama Usahawan Little India bersempena sambutan Deepavali, di sini.

Tambahnya, polis juga sedang melihat kepada pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu yang berkemungkinan menjadi faktor pendorong kepada tindakan kejam itu.

Dua lagi individu turut dipanggil untuk memberi keterangan, hari ini.

Dalam pada itu, Kempen Pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) terus dipergiat dalam meningkatkan penyertaan orang ramai, menjelang sambutan Deepavali.

Aplikasi telefon pintar itu dapat membantu masyarakat menyalur dan membuat aduan secara terus kepada pihak polis.

Aplikasi tersebut dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat lokasi kejadian.

“Kami menggalakkan masyarakat menyertai VSP, lebih-lebih lagi sempena cuti panjang Deepavali ini, agar kami dapat memantau rumah-rumah yang ditinggalkan dan menjalankan rondaan keselamatan secara proaktif,” tambah Datuk Shazeli.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM