fb fb fb fb fb

Lebih 200 kenderaan gagal kemuka dokumen Speed Limit Device – JPJ Melaka

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop/RTM

PERINGGIT, 9 Oktober - Sebanyak 207 kenderaan dikesan gagal mengemukakan dokumen berkaitan Speed Limit Device (SLD) dalam pemeriksaan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sejak 1 Oktober hingga semalam.

Operasi tersebut melibatkan 448 kenderaan komersial pelbagai jenis di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata daripada jumlah itu, 162 adalah kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dengan berat melebihi 3,500 kilogram, diikuti 32 bas ekspres dan 12 bas persiaran.

“Sebahagian kenderaan sebenarnya telah memasang alat SLD, namun gagal membawa slip atau dokumen pembuktian semasa pemeriksaan dijalankan.

“Kita beri tempoh dua minggu untuk mereka mengemukakan dokumen berkaitan, dan notis temu siasat akan dikeluarkan bagi tujuan pengesahan pemasangan peranti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Speed Limit Device dan Operasi Khas Tali Pinggang Keledar 2025, yang dijalankan di kawasan Melaka Sentral, di sini.

Siti Zarina turut memaklumkan, bagi Operasi Khas Tali Pinggang Keledar yang menumpukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan bas persiaran, sebanyak 274 notis dikeluarkan kepada penumpang dan pemandu atas pelbagai kesalahan.
 

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI