fb fb fb fb fb

Lebih 115kg dadah dirampas

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 5 November - Polis Johor berjaya merampas kira-kira 115.09 kilogram dadah, bernilai RM11.4 juta, hasil serbuan di sebuah rumah di sini, Isnin lalu.
 
Ketua Polis Negeri, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang lelaki disyaki penjaga stor di rumah berkenaan, turut ditahan.
 
Serbuan berjaya menemukan pelbagai dadah melibatkan pil ekstasi, syabu, serbuk MDMA, ketamin, serbuk ekstasi dan pil Erimin 5.

"Sindiket ini telah bergerak aktif sejak Julai 2025. Mereka menggunakan rumah berpagar dan terkawal yang disewa sebagai lokasi penyimpanan dadah," katanya.
 
Turut dirampas pelbagai peralatan memproses dadah, selain sebuah kereta dan wang tunai RM10,000.00, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM75,000.00.
 
Suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan trafik dan direman sehingga 10 November ini.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN