KUANTAN, 5 November - Identiti mayat seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan reput di kebun kelapa sawit Batu 19, Telemong di Bentong, pada Isnin, sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mendedahkan, mangsa dipercayai warga Indonesia berusia 40 tahun yang hilang selama dua minggu.
Identiti mangsa diperoleh selepas suaminya yang juga warga Indonesia berusia 40 tahun, tampil memberi keterangan mengenai kes tersebut kepada pihak polis.
"Pada pagi ini, suami mangsa datang untuk memberi maklumat mengenai kes berkenaan dan memaklumkan mengenali mangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Isnin lepas, Datuk Seri Yahaya memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mangsa di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di kebun kelapa sawit Batu 19, Jalan Karak-Kuala Pilah, Telemong di Bentong.
Beberapa barangan dipercayai milik wanita itu turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian, termasuk seluar sukan berwarna hijau, baju berwarna hitam, sepasang selipar hitam dan jam tangan jenama Casio.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, untuk bedah siasat.
Pihak hospital turut mengesahkan mayat mangsa sudah reput dalam tempoh dua minggu.