fb fb fb fb fb

Ibu dan anak perempuan ditemukan maut

Foto RTM

KULIM, 5 November - Seorang wanita dan anak perempuannya berusia empat tahun ditemukan maut di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim pada Selasa.

Manakala, anak lelakinya, tujuh tahun ditemukan selamat, yang turut berada di dalam rumah itu dan kini menerima rawatan di Hospital Kulim akibat melecet pada leher dan rahang.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Azizan, ikatan di leher kanak-kanak itu dipercayai terlucut ketika ditolak dari tangga aluminium oleh ibunya.

Menerusi kenyataan, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan orang awam pada pukul 11.05 malam, berhubung penemuan wanita tidak sedarkan diri.

Wanita berusia 30 tahun itu ditemukan tergantung di kipas siling.

Sementara itu, anak perempuannya terbaring tidak bernyawa di katil, dipercayai akibat dilemaskan dengan bantal.

Jelas Supritendan Zulkifli, siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai bertindak demikian akibat tekanan emosi selepas kecewa dengan teman lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Polis turut menemukan nota yang ditinggalkan menyatakan permohonan maaf kepada semua pihak dan wanita itu mendakwa tidak sanggup menanggung sakit hati.

Di dalam nota itu turut menyatakan, anak-anaknya tidak boleh tinggal dengan sesiapa dan perlu dibawa bersama.

Manakala MyKad ketiga-tiga beranak dan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik si mati ditemukan berdekatan nota yang ditinggalkan.

Polis mengesahkan tiada kesan pecah masuk atau unsur pencerobohan ditemui di lokasi kejadian.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan cubaan membunuh.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN