fb fb fb fb fb

KPDN Terengganu rampas 19,550 liter minyak diesel bersubsidi

Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata serbuan dilakukan hasil risikan selama tiga bulan.

KEMAMAN, 8 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya merampas 19, 550 liter minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris dengan nilai rampasan lebih RM425,000.

Ia menerusi satu serbuan premis di Kampung Labohan, Kerteh, di sini yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel kira kira pukul 9.30 malam tadi.
 
Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata serbuan dilakukan hasil risikan selama tiga bulan.

Enam lelaki warga tempatan berumur lingkungan 29 hingga 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
 
Turut dirampas dan disita lima buah kenderaan, sepuluh unit tong jenis Intermediate Bulk Container, IBC , tiga buah skid tank, serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan.
 
"Hasil maklumat awal modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori yang telah diubahsuai bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kerteh dan Paka. Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke dalam tangki. Kalau kita berhenti di belakang ini, terdapat sebuah lori dijadikan sebagai pam yang akan sedut dan dia akan simpan di tangki," katanya.
 
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut. 

Sebanyak 1,097 pemeriksaan telah dilakukan di Terengganu menerusi Ops Tiris yang bermula 1 Mac hingga 7 Disember lalu, dengan 17 kes direkodkan melibatkan rampasan dan sitaan ke atas minyak diesel, aset serta peralatan lain berjumlah RM1.5 juta.
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI