fb fb fb fb fb

Jual pingat palsu: Enam termasuk Presiden NGO ditahan

Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit

PUTRAJAYA, 8 Disember - Seorang presiden pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu melibatkan bayaran kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber SPRM, empat lelaki termasuk presiden NGO berkenaan serta dua wanita yang berusia 30 hingga 50-an itu ditahan di lokasi berasingan antara 30 November dan Rabu lepas.

Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan.

“Presiden NGO itu disyaki menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran dan mengarahkan ahli sindiketnya iaitu seorang lelaki berusia 50-an menyamar sebagai Tengku.

“Ia bagi mendapatkan bayaran untuk menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu mengenakan bayaran berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000, Datuk Seri RM250,000 manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN