fb fb fb fb fb

KPDN rampas 1,530 tong LPG dalam serbuan Op Gasak di Klang

Foto- KPDN Selangor

PUTRAJAYA, 24 Mei - Sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Puloh, Klang, diserbu kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi, iaitu Gas Petroleum Cecair (LPG).

Dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebanyak 1,530 tong LPG, tiga lori, hos penyambung dan beberapa peralatan lain disita.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM300,000.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam kenyataan berkata, serbuan pada 21 Mei lalu dilakukan selepas risikan selama sebulan.

Menurutnya, premis berkenaan memiliki lesen sah sebagai syarikat pemborong dan pengedar LPG.

Namun, selepas tamat waktu operasi, ia disalah guna bagi tujuan pemindahan LPG bersubsidi dari tong 14 kilogram ke tong industri bersaiz 50 kilogram.

Kegiatan itu dilakukan menggunakan hos penyambung yang direka khas.

Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dan dua warga asing masing-masing berumur 25 dan 39 tahun.

Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Datuk Azman menegaskan KPDN akan terus mempergiat pemantauan agar tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN