fb fb fb fb fb

Tipu Pelaburan: Pesara perbankan kerugian RM677,146

Gambar Fail

KUALA TERENGGANU, 24 Mei - Seorang pesara perbankan kerugian lebih setengah jura ringgit selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kasino tidak wujud yang diperkenalkan 'kekasih' dikenali dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 64 tahun itu mengenali suspek yang memperkenalkan diri sebagai Marvin Lee melalui aplikasi WhatsApp pada 9 Februari lalu.

Menurut beliau, mangsa mengaku menjalinkan hubungan cinta dalam talian sebelum dipujuk suspek untuk melabur dalam skim kasino kononnya beroperasi di Singapura.

Pengadu kemudiannya membuat beberapa pemindahan wang ke dalam akaun syarikat dan individu berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM677,146.

Bagaimanapun, wanita berkenaan menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan selepas membuat pembayaran.

Siasatan mendapati wang pelaburan itu diperoleh daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akaun simpanan tetap milik mangsa.

Pengadu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD