IPOH, 4 Jun - Sebanyak 2,000 liter diesel dirampas, dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Belanja, Daerah Kinta, Ipoh Perak, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas tapak tersebut disyaki menyimpan barang kawalan diesel tanpa permit sah.
"Diesel itu dirampas selepas pengurus tapak pembinaan berkenaan berusia 29 tahun, gagal mengemukakan dokumen kebenaran bagi menyimpan bahan api tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.
Dua buah Kontena Pukal Pertengahan (IBC) berisi cecair diesel itu turut disita dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM6,000.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.