fb fb fb fb fb

Kilang proses cili kisar guna logo halal tidak sah diserbu

seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60- an dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal ketika diminta pihak KPDN.

IPOH, 10 Januari- Sebuah kilang memproses makanan cili kisar di kawasan Perindustrian Silibin, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah.

Serbuan dijalankan dengan kerjasama Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pukul 10.30 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail menerusi kenyataan berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihak KPDN Perak.

Jelasnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60- an dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal ketika diminta pihak KPDN.

“Tindakan diambil dengan menyita kesemua cili kisar, plastik pembungkus yang tertera logo halal, barangan pembungkusan dan dokumen lain untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM43,185.80,” katanya.

Ujar Kamalludin lagi, 'Perintah Tutup Premis Makanan' juga dikenakan ke atas kilang berkenaan oleh pihak KKM kerana tahap kebersihan yang tidak mencapai piawaian ditetapkan.

Beliau menasihatkan semua peniaga dan pengusaha supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi berkaitan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI