SHAH ALAM, 10 Januari- Sebarang tangkapan berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, bergantung kepada hasil analisis maklumat serta siasatan pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata selain maklumat awal, polis turut mengambil kira analisis yang sedia ada dan yang akan diterima.
Tambahnya, proses penilaian mengambil kira segenap sudut yang sedang dilakukan dalam mencari bahan bukti selain petunjuk baharu bagi kes tersebut.
"Semua bergantung kepada analisis dan maklumat yang kita terima. Ia termasuk maklumat yang lebih awal dan yang akan kita diterima atau sudah diterima."
Hasil dapatan itu, ia akan menentukan sama ada seseorang itu boleh ditahan dan cukup bukti untuk ditahan," kata Shuhaily kepada pemberita dalam sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan kes Zayn Rayyan sudah melebihi 90 peratus dengan tumpuan kini terarah kepada semua maklumat yang dikumpul ketika siasatan.