KULIM, 22 April - Sebuah kilang memproses ayam di sini, diarah menghentikan operasi berikutan pencemaran bau busuk yang mengundang ketidakselesaan penduduk di kawasan setempat.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata, operasi dihentikan pada Ahad lalu selepas siasatan dijalankan.
"Hasil pemeriksaan mendapati bau busuk dikesan dalam kawasan premis yang dipercayai terhasil daripada longgokan sisa sembelihan ayam dan simpanan sangkar ayam," katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau berkata, premis tersebut dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian di dalam premis semasa aktiviti memproses ayam mentah dijalankan. Beliau berkata, tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
"Premis terbabit akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil premis mengikut Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 yang dikeluarkan kepada premis berkenaan," katanya.
Sharifah Zakiah berkata orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke