ALOR SETAR, 22 April - Seorang guru sebuah sekolah swasta di sini, ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap pelajar. Guru lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 4.45 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan polis daripada dua mangsa masing masing berusia 15 dan 25 tahun berkaitan kejadian itu.
"Dalam laporan pertama yang diterima pada 18 April, mangsa yang merupakan bekas pelajar kepada guru tersebut mendakwa pernah diganggu secara seksual melalui hantaran pesanan berbaur lucah selain mengajak melakukan hubungan seks.
"Mangsa tampil membuat laporan polis setelah mendapat tahu bahawa guru tersebut turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar lain," menurut Nor Salawati menerusi kenyataan.
Dalam laporan kedua yang diterima pada 19 April, mangsa kedua juga mendakwa telah menerima hantaran berbaur lucah daripada guru sama.
"Selain meminta gambar bogel, suspek turut mengajak untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa.Bimbang akan keselamatan diri dan khuatir perkara sama berlaku ke atas pelajar lain, kedua dua mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 23 April bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 yang mana jika disabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua duanya bagi kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
Manakala bagi kesalahan seksual terhadap kanak kanak pula tersabit boleh dikenakan seksaan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini, khuatir akan menimbulkan kegusaran terhadap ketenteraman awam.
Polis tahan guru disyaki terbabit kes gangguan seksual pelajar
