fb fb fb fb fb

9 vesel perikanan tempatan ditahan di Melaka sejak November 2024

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib / Foto RTM

JASIN, 22 April 2025 – Sebanyak sembilan buah vesel perikanan tempatan telah ditahan oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka sejak November 2024 hingga Mac 2025.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib, penahanan tersebut dibuat di bawah Akta Perikanan 1985, melibatkan 36 individu, termasuk tekong dan awak-awak.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah,memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen,menangkap ikan tanpa kebenaran, dan melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

“Antara kes-kes ini termasuklah aktiviti perikanan di kawasan Taman Laut Negeri Melaka, khususnya di kawasan larangan menangkap ikan di Pulau Besar, serta pelanggaran lain di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya kepada pemberita.

Katanya, kesemua kes telah dirujuk kepada Unit Undang-Undang (PUU) untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus bersama nelayan berdaftar Negeri Melaka berhubung pewartaan Taman Laut Negeri Melaka dan Kawasan Larangan Perikanan Pulau Besar, yang diadakan di Serkam, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD