fb fb fb fb fb

Lapan ditahan kes lelaki dipukul di Masai

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki, tular di media sosial

JOHOR BAHRU, 22 April- Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita berjaya diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tular memukul seorang lelaki di kawasan perumahan Pangsapuri Plentong Baru, Masai, Johor Bahru pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Sohaimi Ishak berkata, semua suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun ditahan dalam satu operasi awal pagi semalam. Lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Menurut beliau, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun pada Sabtu lalu yang mendakwa dikurung, dipukul dan dicederakan oleh sekumpulan individu.

Mangsa mendakwa dia pergi ke rumah berkenaan selepas dihubungi seorang wanita yang dikenali melalui aplikasi media sosial. Setibanya di lokasi, beberapa lelaki muncul dan mula memukulnya hingga mengalami kecederaan.

Kesemua suspek kini direman sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE