KUANTAN, 22 April – Sebanyak 5,658 laporan kes penipuan dalam talian telah diterima oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, melibatkan 302 kes membabitkan pesara kerajaan, bagi tempoh tiga tahun sejak 2022 hingga 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang, berkata jumlah kes melibatkan golongan pesara menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Menurut beliau, pada tahun 2022, sebanyak 85 laporan penipuan dalam talian diterima daripada golongan pesara. Jumlah itu meningkat kepada 102 laporan pada 2023, dan kepada 115 laporan pada 2024, dengan nilai kerugian keseluruhan melebihi RM21 juta.
“Kerajaan telah mengadakan ceramah dan pameran, termasuk melalui siaran media, serta turun ke sekolah, universiti dan masjid.
Banyak program telah dijalankan dan saya menyeru agar rakyat lebih cakna dan berhati-hati,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Cheka) semasa sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.
Secara keseluruhannya, katanya, kerugian melebihi RM120.538 juta telah direkodkan akibat kes penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun tersebut.
Tambah beliau, berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 3,095 tangkapan telah dibuat, dengan 2,608 kes telah didakwa di mahkamah.