IPOH, 14 April- Polis Perak menahan dua lelaki warga Taiwan yang disyaki menjadi orang suruhan ceti haram bagi membantu siasatan kes khianat membaling bom petrol atau 'molotov cocktail' ke sebuah rumah di sini.
Ketua Polis negeri Datuk Noor Hisam Nordin berkata kedua-dua suspek berusia 37 dan 26 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima daripada mangsa berhubung kejadian tersebut.
Hasil siasatan mendapati mereka mula terlibat dengan kes khianat api sejak Mac 2025 dan menerima bayaran S$300 bagi setiap tugasan daripada sindiket berkenaan.
"Tangkapan ini berjaya menyelesaikan lapan kes khianat dengan api di negeri Perak. Di Perak memang ada lapan kes khianat yang telah dilaporkan kepada kami.
"Hasil semakan dalam telefon bimbit kedua-dua suspek juga mendapati terdapat beberapa lagi alamat rumah yang tidak membuat laporan polis. Bermakna mereka masih menyimpan senarai rumah yang pernah menjadi sasaran," katanya.
Kedua-dua suspek kini direman tiga hari bermula 13 hingga 15 April bagi membantu siasatan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Noor Hisam berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai di sini hari ini.