fb fb fb fb fb

Kes buli pelajar MRSM Nibong Tebal dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad

KEPALA BATAS, 14 April - Kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Nibong Tebal telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, ia telah diserahkan ke pejabat TPR, 10 April lalu dan polis telah merakam keterangan kakitangan sekolah, pelajar serta mangsa.

Berdasarkan siasatan, insiden sekitar pertengahan tahun lalu itu hanya berlaku sekali sahaja. Kesemua pelajar telibat dikatakan sedang bergurau sesama mereka.
 
"Apabila sebut soal siasatan, ia merangkumi semua aspek namun kita tidak boleh memperincikan kerana ia berkenaan siasatan, namun apa yang kita boleh katakan, kita sudah lengkapkan siasatan ini termasuk laporan perubatan mangsa, sekali itu sahaja dan itu berlaku sebab mereka hanya bergurau," kata Hamzah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontijen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, malam tadi.

Isnin lepas, tular rakaman video memaparkan pelajar sebuah asrama MRSM di Pulau Pinang dipercayai dibuli. Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

TETITIA YUSOFF