BUTTERWORTH, 14 April- Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas dua pertuduhan merompak hingga mencederakan dua individu dalam kejadian berasingan, bulan lalu dan awal April ini.
Tertuduh, R. Jegatisvaran, R. Keshen Raj, T. Naarentheran dan R. Rakesh Ruhilan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas kerana merompak sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang lelaki berusia 25 tahun sambil menyebabkan kecederaan di belakang sebuah pondok kosong di Jalan Telaga Air di sini kira-kira pukul 5.30 petang, 23 Mac lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan kedua, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak dua telefon bimbit dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan padang bola Flat Mak Mandin, Taman Sukaria kira-kira 2.00 pagi, 8 April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin mengendalikan pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam P. Vaasudevan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM18,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 Mei depan untuk sebutan semula kes.