fb fb fb fb fb

Kes tembak di Pantai Morib: Polis kesan dua lelaki warga asing

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LANGAT, 31 Januari – Polis sedang mengesan dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di perairan Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, setakat ini seramai 16 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita masih mengesan dua warganegara Indonesia yang menghantar tiga mangsa ke Hospital Serdang pada hari kejadian.

“Selain itu kita juga telah merakam percakapan 14 pegawai serta anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan telah memproses kedua-dua bot, termasuk bot APMM dan sindiket berkenaan.

“Siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk sebarang keputusan selanjutnya,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan keterangan saksi dan saiz bot yang digunakan, terdapat kemungkinan lebih ramai individu berada dalam bot berkenaan ketika insiden berlaku.

Siasatan juga mendapati kesemua individu yang ditahan, termasuk yang maut dalam kejadian itu, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan disyaki cuba meninggalkan perairan negara melalui laluan tidak sah.

Mengenai tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melepaskan tembakan, Hussein menjelaskan bahawa agensi tersebut mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri.

"APMM bertindak mengikut SOP yang ditetapkan, dan tindakan melepaskan tembakan hanya dilakukan apabila mereka merasakan keselamatan terancam," jelasnya.

Polis kini giat mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat, selain meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit dalam aktiviti keluar masuk melalui laluan tidak sah.

GRACE AISYAH KEDAYAN