KUANTAN, 1 Februari- Seorang mahasiswa berusia 20 tahun mengalami kerugian RM147,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pihak platform e-dagang dan pegawai polis melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah menggunakan wang simpanan dan barang kemas milik ibunya kerana takut ditangkap.
Menurutnya, berdasarkan laporan semalam, lelaki itu menerima panggilan telefon daripada pihak e-dagang yang memaklumkan mangsa mengiklankan barangan menyalahi undang-undang, pada 23 Januari lalu.
Panggilan itu disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis yang memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Suspek kemudian meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah.
Mangsa yang ketakutan membuat pemindahan wang RM47,000 dan menyerahkan barang kemas milik ibunya dianggarkan berjumlah RM100,000 kepada seorang wanita yang tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya.
Mangsa menyedari ditipu apabila ibunya mempersoalkan kehilangan barang kemas dan kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya.
Laporan polis dibuat semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.