SHAH ALAM, 31 Januari- Dua lelaki berusia 25 dan 18 tahun yang direkrut sebagai keldai dadah dengan bayaran RM600 sekilogram berjaya diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ketika cuba menyeludup barang terlarang itu ke Sarawak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua bagasi yang dirampas mengandungi 30 bungkusan plastik disyaki berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 30.3 kilogram (kg) bernilai RM900,67.
Menurutnya, semakan awal mendapati kedua-dua suspek itu masing-masing memiliki empat dan satu rekod jenayah lampau.
"Kedua-dua mereka ini kali pertama datang ke Semenanjung dan dibawa sindiket media sosial menginap di servis apartment Kota Warisan dan apabila mereka kembali ke Miri bersama bagasi berisi dadah.
"Mereka ini merupakan sebahagian daripada keldai dadah yang diupah untuk membawa dadah dari Semenanjung ke Sarawak", katanya dalam Sidang Media Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun ditahan sepasukan Polis Bantuan KLIA Terminal 1, bersama rampasan 31 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM96,000 yang disorokkan dalam dua beg bagasinya.
Suspek merupakan pengawal keselamatan di syarikat luar negara dipercayai tiba dari London pada 16 Januari lalu.
Bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari dalam negara untuk pasaran luar negara.
Kesemua suspek yang ditahan direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.