KUALA LUMPUR, 18 Julai – Polis Kuala Lumpur hari ini memaklumkan tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula seorang artis legenda bagi membantu siasatan berhubung kes serangan secara verbal terhadap penyanyi terkenal, Shila Amzah.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata tindakan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh artis terbabit berkenaan insiden tersebut.
“Setakat ini, polis telah merakamkan empat keterangan dan beberapa individu lain juga akan dipanggil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Kes ini mula menjadi perhatian selepas Shila Amzah mendakwa diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda ketika sesi latihan sebuah konsert.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.