SHAH ALAM, 18 Julai – Pertuduhan terhadap seorang lelaki warga Pakistan berkaitan kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki, yang sepatutnya dibacakan hari ini di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa Bahasa Urdu.
Penangguhan itu diputuskan selepas tertuduh, yang berusia 24 tahun, memohon supaya pertuduhan dibacakan dalam bahasa Urdu kerana tidak memahami Bahasa Melayu dan Inggeris.
Sehubungan itu, Hakim Rasyihah Ghazali dan Hakim Norazlin Othman masing-masing menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula untuk kehadiran jurubahasa serta pembacaan pertuduhan.
Reman terhadap tertuduh turut dilanjutkan sehingga jurubahasa dapat diperoleh.
Tertuduh juga berhadapan dengan satu lagi pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret atas kesalahan tinggal melebihi tempoh sah di negara ini.
Majistret Ameera Mastura Khamis turut menangguhkan kes itu ke 1 Ogos 2025, juga bagi menunggu kehadiran jurubahasa Bahasa Urdu.
Ketiga-tiga prosiding di Mahkamah Shah Alam hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin, Roshaira Rosli, dan Nurul Akhilah Rosmi.
Sebelum ini, pihak polis berjaya menahan tertuduh di Kuala Nerang, Kedah, pada 9 Julai lalu, selepas beliau dipercayai cuba melarikan diri ke negara jiran.
Penahanan itu dilakukan hasil risikan berhubung beberapa siri kes jenayah seksual yang berlaku di sekitar Seksyen 27 dan 28, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan suspek sebelum ini dikaitkan dengan empat kejadian liwat dan amang seksual, melibatkan mangsa lelaki berumur antara 9 hingga 19 tahun.
Tiga daripada mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia 9, 13 dan 14 tahun, manakala seorang lagi merupakan remaja lelaki berumur 19 tahun.
Tertuduh kini masih berada dalam tahanan reman sehingga tarikh sebutan semula ditetapkan oleh mahkamah.