GEORGE TOWN, 18 Julai - Dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM2 juta.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah kondominium mewah, di sini dalam operasi yang dijalankan bermula Rabu dan berakhir semalam.
Datuk Mohd Alwi menunjukkan dadah yang diproses menjadi minuman segera - Foto PDRM Pulau Pinang
Menurutnya, serbuan turut merampas 13 kilogram serbuk MDMA, dua biji pil ekstasi, satu biji Erimin 5, serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan mencecah RM2.3 juta.
"Polis menahan lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai kepakaran memproses dadah dan ada rekod jenayah lampau serta baharu keluar penjara pada tahun 2024.
"Polis kemudiannya menahan suspek kedua berusia 40 tahun yang juga ejen hartanah di kawasan kondominium sama dan kedua-dua lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan memproses MDMA sebelum mengedarkannya di pusat hiburan di sekitar negeri ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Dadah MDMA diproses semula menjadi minuman segera pelbagai perisa - Foto PDRM Pulau Pinang
Beliau berkata, berdasarkan siasatan sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memproses semula dan membungkusnya dalam peket minuman segera pelbagai perisa yang dijual pada harga RM300 setiap satu.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah berkenaan sejak tiga bulan lalu bagi menjalankan kegiatan haram terbabit.
Dadah dibungkus dalam peket minuman segera dan dijual pada harga RM300 setiap satu - Foto PDRM Pulau Pinang
Datuk Mohd Alwi berkata, saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.