PUTRAJAYA, 19 Disember- Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 22 dan 23 Jun tahun depan untuk mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian.
“Untuk makluman, rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar itu akan turut didengar pada tarikh sama.
“Hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023. Hujahan balas jika ada perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023. Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh bicara rayuan lanjut pada 12 hingga 14 Julai 2023.
“Bagaimanapun, permohonan tertakluk kepada persetujuan mahkamah,” katanya sambil menambah pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 3 Februari 2023 secara dalam talian.
Rosmah, 70, yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lepas, telah mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.
Pada 1 September lepas, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
(Datin Seri Rosmah Mansor)
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. -BERNAMA