fb fb fb fb fb

Kes tanam ganja: Mahkamah tolak permohonan ikat jamin bekas duta, anak

(Zainal Abidin dan anaknya, Mohamed Rizal diiringi anggota polis keluar dari
Mahkamah Tinggi Temerloh, hari ini)

TEMERLOH, 19 Disember- Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menolak permohonan bekas duta dan anaknya yang menghadapi pertuduhan memiliki, menanam dan mengedar dadah jenis ganja untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Abdul Latif.

Pada prosiding itu, mahkamah memutuskan tidak membenarkan ikat jamin kedua-dua tertuduh sehingga tarikh perbicaraan kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, setelah satu jam hujah bertulis dibentangkan.

Jelas Roslan, di bawah Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh yang dituduh di bawah seksyen 39B Akta yang sama tidak boleh dijamin dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Febuari depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum itu, tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, mengaku tidak bersalah selepas tiga kertas pertuduhan dibaca jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dan menanam tumbuhan jenis ganja sejumlah 102 batang pokok.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 5718, Jalan Sum Sum Hilir di Janda Baik, Bentong pada 21 Mei 2022, kira-kira pukul 6.10 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan hendaklah dikenakan sekatan tidak kurang enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didapati mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 989.6 gram yang didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua dituduh memiliki Delta-9-Tetrahydrocannabinol iaitu minyak ganja seberat 58 mililiter.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 (1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 9(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

(Zainal Abidin dan anaknya, Mohamed Rizal mengaku tidak bersalah
tuduhan memiliki, tanam pokok ganja)

Media Baharu