PUTRAJAYA, 13 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9.46 pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa Ismail Sabri dijadualkan untuk merekodkan kenyataannya hari ini, selepas sijil cuti sakitnya tamat pada 12 Mac.
Azam juga memaklumkan SPRM akan merekodkan kenyataan daripada 23 saksi baharu secara beransur-ansur untuk membantu siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, Ismail Sabri dikejarkan ke pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Februari lepas.
Pada 3 Mac lepas, Azam mengesahkan Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, selepas pihak SPRM menemui wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa seperti baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan.
Selain itu, 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta turut disita. SPRM turut menyita 13 akaun bernilai lebih RM2 juta untuk membantu siasatan.
Fokus siasatan kini tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana untuk tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menjadi Perdana Menteri.