SHAH ALAM, 13 Mac- Seorang wanita berdepan detik cemas apabila keretanya dilarikan seorang lelaki dengan anak sulungnya berusia enam tahun masih berada di dalam kenderaan tersebut dalam kejadian di sebuah taska di Setia Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, insiden berlaku pada pukul 6.55 pagi ketika wanita berusia 34 tahun itu sedang menghantar anak keduanya ke sebuah tadika. Ketika itu, anak sulungnya sedang tidur di dalam kereta yang ditinggalkan dengan enjin masih hidup dan tidak berkunci.
“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila wanita itu yang juga seorang guru tadika, keluar dari taska dan mendapati keretanya telah hilang bersama anak sulungnya,” katanya.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.06 pagi dan usaha mengesan kenderaan tersebut digerakkan segera dengan bantuan orang awam.
“Kira-kira 45 minit kemudian, kereta tersebut berjaya ditemui pada pukul 7.45 pagi di kawasan perumahan jenis pangsapuri, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. Anak wanita itu dijumpai dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki tempatan, dipercayai berniat mencuri kereta tersebut namun bertindak memberhentikan kenderaan selepas menyedari kehadiran kanak-kanak itu yang mula menangis, sebelum melarikan diri.
Mohd Iqbal berkata, suspek sempat mengambil beg tangan wanita tersebut yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri, serta dua unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.