KUALA LUMPUR, 13 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R yang menyentuh sensitiviti agama.
Kandungan yang dimuat naik menerusi laman Facebook milik individu terbabit pada 9 Mac 2025 mendakwa bahawa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning, Taiping, Perak tidak lagi dibenarkan.
"Susulan itu, MCMC bersama pasukan penguat kuasa telah menjalankan sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut di Balai Polis Taiping pada 12 Mac 2025. Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik," menurut MCMC menerusi kenyataan.
Individu terbabit telah diberikan notis kehadiran bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan kes kini disiasat bawah Seksyen 233(1)(a) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
"MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab dan berhemah serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini," tambah MCMC.