fb fb fb fb fb

Kes rogol pelajar: Tenaga pengajar direman enam hari

Seorang tenaga pengajar sebuah institut kemahiran di Kemaman direman enam hari kerana disyaki merogol seorang pelajar, hujung tahun lalu / Foto Bernama

CHUKAI, 13 Mac – Seorang tenaga pengajar sebuah institut kemahiran di Kemaman direman selama enam hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang pelajar perempuan hujung tahun lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu bermula hari ini selepas dibenarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata suspek ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada pukul 3.38 petang semalam.

"Mangsa yang berusia 18 tahun mendakwa telah diperkosa oleh tenaga pengajar berkenaan pada tahun lalu," katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas sebuah kereta dan beberapa barangan lain milik suspek yang boleh membantu siasatan.

Selain itu, pihak polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat pelajar lain yang turut menjadi mangsa suspek.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN