fb fb fb fb fb

Koperal polis cedera dirempuh samseng jalanan

Foto fail

MARANG, 14 November -Seorang remaja berusia 14 tahun bertindak agresif dengan merempuh seorang anggota polis ketika operasi Ops Motosikal dijalankan di Jalan Medan Jaya–Rusila di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya telah melakukan serbuan terhadap sekumpulan penunggang motosikal yang berkumpul dan membuat bising di lokasi berkenaan kira-kira 6.45 petang.

"Ops Motosikal yang dijalankan oleh dua pegawai dan 22 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang semalam mendapati sekumpulan penunggang motosikal beraksi dengan cara berbahaya serta membuat bunyi bising di sekitar Jalan Medan Jaya-Rusila hingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Sofian berkata remaja terbabit ditahan manakala motosikalnya turut dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan 28 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 17 tahun serta menyita 24 motosikal mengikut Seksyen 64 APJ 1987.

"Sebanyak 119 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.

TETITIA YUSOFF