fb fb fb fb fb

Kes bunuh Istiqomah, tiada pengakuan direkodkan

Foto BERNAMA

ALOR GAJAH, 19 Ogos- Suspek pembunuhan guru, Istiqomah Ahmad Rozi, dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh guru tersebut akhir tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzillah, 36 tahun, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Dr Teo Shu Yee.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan terhadap Istiqomah, 34 tahun, di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah antara 26 Disember hingga 31 Disember tahun lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pendakwaannya, Nazrin memohon tarikh baharu untuk memperoleh laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Majistret, Shu Yee tidak membenarkan sebarang bentuk jaminan dan menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula serta lantikan peguam.

Terdahulu, suspek yang juga bekas guru itu tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi anggota Pasukan Siasatan Jenayah (CID), pada pukul 9.05 pagi.

Pada 31 Disember 2023 orang awam menemukan mayat dengan anggota badan tidak lengkap yang dibuang di dalam tong sampah di Pulau Sebang.

Risikan yang dijalankan pihak polis membawa penahanan sepasang suami isteri yang masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.

Suspek kemudian direman sejak 6 Ogos sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 Ogos lalu.

Dalam pada itu, jenazah mangsa akan dituntut ahli keluarganya di Hospital Melaka hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, hasil ujian DNA mengesahkan mangsa seorang wanita yang hilang di Johor pada 2023.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM