KLUANG, 25 Oktober- Seorang lelaki ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk premis makanan di Jalan Duku Kampung Masjid Lama, Rabu lalu.
Suspek ditahan pihak polis di Jalan Haji Manan, Kluang, Johor.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita, pada hari sama kejadian.
Hasil semakan mendapati suspek berusia 50 tahun mempunyai 10 rekod bersabit kes jenayah.
Suspek juga mengaku terlibat dalam kes berkenaan, semasa soal siasat bersama polis.
Turut dirampas, sehelai baju, sebuah topi besbol, lapan kotak susu dan lain-lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.