KLANG, 25 Oktober-Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warganegara tempatan dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang warganegara asing di sekitar Sepang baru-baru ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata kejadian awal pagi 18 Okt itu berlaku ketika mangsa yang merupakan warganegara China dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki perkhidmatan e-hailing sebelum ditahan sebuah kereta di Plaza Tol Putrajaya.
"Empat suspek warganegara asing telah turun dari kereta itu dan melarikan mangsa yang kemudian dikurung di sebuah premis di ibu kota.
"Polis percaya hal itu bertujuan melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa dengan mengatakan mangsa berhutang dengan suspek dan telah bertindak meminta wang tebusan kira-kira RM300,000," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.
Hussein berkata, susulan itu pada 19 Okt polis berjaya menemukan mangsa dalam keadaan cedera di Hospital Kuala Lumpur akibat cubaan menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan tempat dia ditahan sekali gus membawa kepada penahanan empat suspek itu.-Bernama