fb fb fb fb fb

Kes edar kanabis, miliki pistol tiruan Yusoff Rawther dibicarakan bersama

Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Februari - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan dihadapi bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther untuk dibicarakan bersama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua kes itu melibatkan saksi sama.

"Permohonan untuk kedua-dua kes dibicarakan bersama dibenarkan dan perbicaraan ditetapkan selama lima hari pada 7 hingga 11 April ini," kata hakim itu yang turut menetapkan 11 Mac depan untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, Muhammed Yusoff, 32, diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada 12 Sept tahun lepas, Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pada 9 Okt tahun lepas, Muhammed Yusoff sekali lagi didakwa atas pertuduhan pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN